Jan 19, 2026 - FASSelangor FC membuka tirai kempen Piala Malaysia 2025/26 dengan perlawanan Pusingan 16 pertama menentang Kelantan The Real Warriors FC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, yang dijadualkan bermula pada jam 9 malam.
Lima perlawanan terakhir antara #TRWSFC menyaksikan Gergasi Merah memenangi kesemua pertemuan tersebut; Liga Super 2024/25 (2-0, 7-0), MFL Challenge Cup 2024/25 (5-1, 3-0) dan Liga Super 2025/26 (2-0). Kali ini, kedua-dua pasukan kembali bertemu dalam saingan Piala Malaysia 2025/26.
Ketua Jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon, meneruskan misi membina identiti ‘Red Giants’ dalam kempen Piala Malaysia 2025/26 untuk mencapai kemenangan.
“Fokus kami dalam kempen Piala Malaysia adalah untuk terus membina identiti yang lebih jelas melalui permainan yang positif, dinamik, serta penuh tenaga dan intensiti tinggi. Saya telah menetapkan nilai teras seperti rasa hormat, perpaduan, pengorbanan, dan keinginan kuat untuk menang, kerana kekuatan sebenar pasukan bukan hanya datang daripada aspek fizikal, tetapi juga daripada mentaliti dan semangat para pemain.” jelas beliau.
Selangor FC yakin para pemain akan berikan sehabis baik dan mendoakan kejayaan pasukan dalam perlawanan pertama Pusingan ke-16 Piala Malaysia 2025/26.
Jika anda tidak dapat bersama pasukan di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu, ayuh sama-sama meriahkan Suasana Market Hall, Shah Alam bermula pada jam 6:30 petang bagi tayangan #TRWSFC anjuran kelab atau tonton secara langsung di Astro saluran 803, aplikasi Astro GO dan Sooka.
Demi Kebanggaan!